December 05, 2012

Manusia boleh berubah 2: Baik kepada buruk


Kita juga kadangkala selalu melupakan perkara ini. Kita lupa bahawa Allah itu mampu menurunkan seseorang yang baik, menjadi seorang yang buruk. Mungkin dahulu solat, sekarang tidak. Mungkin dahulu ada hubungan dengan Allah, sekarang tidak. Banyak lagi.



Kelupaan kita terhadap perkara inilah, yang membuatkan kita senang memandang hina kepada mereka yang bergelumang di dalam dosa dan keburukan. Kelupaan kita akan perkara inilah, yang membuatkan kita mudah menyatakan orang lain masuk neraka, kafir dan sebagainya. Kita boikot orang-orang berdosa dan mengumpat cerca mereka.



Ya, mungkin hari ini kita ada nikmat iman dan nikmat Islam.



Tetapi kita punya kah?



Sepatutnya, kesyukuran kita ini mendapat nikmat iman dan Islam, perlu ditunjukkan dengan menyebarkannya dengan lebih jauh dan lebih ramai lagi. Bukannya menyedikitkannya dengan menyatakan orang-orang lain masuk neraka atau kafir atau tak ada harapan atau dah terjerumus.



Maka sepatutnya kita tidak merasakan bahawa diri ini sudah berada di dalam comfort zone. Rasa keimanan kita sudah cukup. Rasa Islam kita sudah bagus. Sepatutnya kita tidak melihat berapa banyak kebaikan yang kita lakukan, tetapi lihatlah berapa banyak dosa yang masih belum kita selesaikan. Sepatutnya kita tidak melihat berapa banyak dosa orang lain lakukan, tetapi lihatlah kebaikan-kebaikan yang dia ada sebagai motivasi untuk mengajaknya kepada kebenaran.



Kita sepatutnya melihat di sekeliling kita.



Mungkin ramai sahaja, orang-orang yang mendapat didikan agama, tetapi tidak mengaplikasikannya. Mungkin ramai sahaja, orang yang dahulunya ikut usrah, tapi kini perangai entah apa-apa. Mungkin ada pengalaman kita, orang yang dahulu bertudung, sekarang boleh dedah sampai ke paras dada dan pakai ketat-ketat.



Sepatutnya, kita bersyukur dengan kebaikan kita, dan berusaha untuk menambahnya dalam rangka menghargainya. Dan syukur kita, kita lepaskan dalam bentuk mengajak lebih ramai lagi orang lain untuk berada dalam lingkungan keredhaan Allah.



Bukannya kita tunjukkan dengan mencerca mereka yang diuji pula!
------------------------------------
Petikan Buku Motivasi Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada!


Manusia boleh berubah 1: Buruk kepada baik


Kita selalu lupa kenyataan ini. Lupa dalam amal dan perbuatan, lupa dalam minda dan akal fikiran, lupa dalam hati dan jiwa.

Mungkin satu waktu dahulu kita kenal Si A. Dia ada banyak perkara negatif di dalam dirinya. Kita tidak suka Si A pada suatu masa dahulu. Tetapi lama waktu berlalu, kita berjumpa semula dengan Si A. Si A berbeza daripada dahulu. Dia sudah berubah. Walaupun mungkin bukan 100%, tetapi dia menunjukkan perubahan.

                                  



Tetapi kita sukar menerimanya.
“Eleh, berlakon je kut”
“Ah, dulu punya luka masih besar lagi!”
“Ini silap haribulan sekejap je ni!”
Ayat-ayat begitulah yang keluar dari hati.



Akhirnya virus ini merebak ke dalam kehidupan. Kita tidak menghayati perubahan Si A. Kita tidak merasai betapa sukarnya dia hendak melakukan perubahan. Kita tidak tahu mungkin betapa menyesalnya Si A dengan kehidupannya yang lalu. Kita tidak tahu mungkin betapa dia bermati-matian untuk membawa dirinya ke arah apa yang dia sedang pijak hari ini.



Lebih buruk lagi, oleh kerana tidak puas hatinya kita kepada Si A, dan rasa macam tak puas hati dengan perubahan yang telah kita lihat dengan mata kepala kita sendiri, lebih-lebih lagi apabila Si A muncul menonjol luar dari apa yang kita mungkin boleh jangkai, kita mula mencari mana lagi salah-salah Si A yang boleh dieksploitasi.



Di sinilah akhirnya yang sekecil kuman pun dibesarkan sebesar gajah. Dosa-dosa lama diungkit seakan baru. Salah faham yang mungkin berlaku dalam komunikasi, kehidupan Si A, dibesar-besarkan seakan ia adalah satu perkara yang ‘betul faham’. Dan apa-apa sahaja cerita buruk yang di’dengari’ dari orang lain akan Si A, dijaja seluruh dunia seakan benar.



Ini adalah penyakit.

Penyakit kerana kita tidak menyedari, bahawa manusia itu boleh berubah.
-------------------------------------
Petikan Buku Motivasi Untuk Kita Pendosa: Harapan Selalu Ada!Hilal-AsyrafOfficial



Ya Allah, Lembutkanlah hati sahabatku,berikan taufik dan hidayahMu pada dia..Bimbinglah dia ke jalan syurgaMU..Amin.